Utusan Malaysia (7th June 2001)
KUALA LUMPUR 6 Jun - Jenayah siber yang kini semakin
membimbangkan perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan
hubungan politik, ekonomi dan sosial di rantau ini, kata Profesor Paul Evans.
Evans dari University British Columbia Kanada berkata, penyebaran maklumat yang
tidak tepat dan mengelirukan melalui Internet itu boleh memberi kesan negatif
kepada kestabilan serantau dan global.
Dengan mengambil contoh ketegangan kaum etnik Cina dan
tempatan di Indonesia, beliau berkata, rakyat di negeri China telah menerima
banyak sumber maklumat dari luar berhubung kejadian tersebut.
"Malahan maklumat yang dikirimkan oleh orang Cina di
luar China tentang kejadian ini lebih banyak daripada yang diterima secara
rasmi oleh kerajaan China. Bayangkan jika maklumat yang diberikan itu tidak
tepat dan mengelirukan, ia boleh menjejaskan hubungan politik kedua-dua
negara,'' katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja
bertajuk Jurang Digital dan Sosial: Merapatkan Jarak di Kalangan Bangsa dalam persidangan
Meja Bulat Asia Pasifik ke-15 di sini hari ini.
Evans berkata, jenayah siber yang turut meliputi penyebaran
virus, penggodaman komputer dan rangkaian juga boleh memberi kesan sampingan
kepada pertahanan dan ekonomi sesebuah negara. Kata beliau, masalah keselamatan
teknologi maklumat (IT) di rantau Asia Pasifik sudah menjadi agenda agensi
kerajaan sejak dua dekad lalu tetapi ia baru dikaji kalangan akademik dan
pertubuhan bukan kerajaan.
Antara isu yang diberi penekanan di bawah keselamatan negara
termasuk peperangan siber, epidemiologi siber seperti penyebaran virus,
penggodaman dan pencerobohan serta pengganas. Di bawah perspektif isu
keselamatan manusia, `privacy' dan capaian, hal-hal seperti teknik komunikasi,
pemantauan dan kesan dari ekonomi berasaskan pengetahuan perlu diberi
perhatian.
Sementara itu Profesor Amando Mendoza Jr. dari Jabatan Sains
Politik, Universiti Filipina pula berkata, Malaysia dan Singapura adalah
negara-negara yang paling ke depan dalam memajukan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) di rantau ASEAN.
"Malaysia dan Singapura diakui mendahului lain negara
di rantau ASEAN dalam pembangunan ICT. Ia diikuti oleh Thailand manakala
Indonesia, Filipina dan lain-lain negara masih ketinggalan,'' katanya pada sesi
soal-jawab selepas persidangan tersebut. Selain memajukan ICT dengan agresif,
Malaysia juga, kata beliau, merupakan negara yang mendahului lain-lain negara
dalam menyediakan undang-undang siber untuk menghadapi jenayah siber. Langkah
yang diambil oleh Malaysia itu, menurut beliau, sangat tepat memandangkan
dengan adanya undang-undang seperti ini ia akan mengurangkan masalah jenayah
siber.
No comments:
Post a Comment