KUALA LUMPUR : Meningkat, namun masih terkawal, kata
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan
Kolonel (B) Husin Jazri, mengulas mengenai peningkatan kegiatan jenayah siber
di negara ini.
Katanya, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun
lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya. Menurutnya, peningkatan itu
fenomena biasa berikutan perkembangan mendadak pengguna Internet setiap tahun.
Tahun lalu, kami menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007.
Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907
kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman
penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).
Kes jenayah siber serius hanya membabitkan jumlah kecil dan
berdasarkan penilaian profesional ia masih dapat dikawal. Peningkatan jumlah
ini fenomena biasa berikutan penambahan pangkalan Internet, katanya pada sidang
media sempena majlis perasmian Seminar Pertama Pasukan Tindak Balas Kecemasan
Komputer Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-CERT) di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut serta Ketua Teknologi Maklumat,
Sekretariat Umum OIC, Mohamed Abdulrahman Elbusefi. Mengulas lanjut, Husin
berkata, banyak penyebab yang menjadi pendorong segelintir individu sehingga
terjebak ke dalam kancah jenayah terbabit.
Antaranya desakan kewangan akibat kesan kemerosotan ekonomi dunia.
Bagaimanapun, apa yang penting, pemantauan secara berterusan bagi memastikan
jenayah berkenaan tidak terus meningkat di luar kawalan, katanya.
Sementara itu, Abdul Hanan dalam ucapannya berkata, negara anggota
OIC yang menyertai pasukan berkenaan yang baru diwujudkan, boleh mengambil
Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) sebagai contoh bagi merangka dan
melaksanakan pelan untuk OIC-CERT.
Malaysia yang mempunyai pengalaman menerusi NCSP sejak 2006, boleh
membantu OIC-CERT untuk melaksanakan polisi atau idea sama lebih-lebih lagi
membabitkan langkah pengawalan keselamatan dunia siber yang kini melampaui
sempadan agama, budaya dan negara, katanya.


No comments:
Post a Comment